Saturday, May 24, 2014

Entri Piala Thomas #1: Sejarah besar terlakar

Sebagai peminat sukan badminton aku harus tulis entri ini setelah sejarah besar tercipta dalam Piala Thomas 2014.  

Sejarah besar terlakar...

Siapa sangka Jepun berjaya mengalahkan dominasi China dalam Piala Thomas.  Paling menggemparkan bila Jepun mengalahkan China 3-0.  Itu satu pencapaian besar Jepun, apalagi Jepun tidak pernah sampai ke pentas akhir Piala Thomas sejak ia dipertandingkan. China terdiam paling senyap, maruah mereka tercalar dengan teruk.  Aku kira. tahun ini China betul-betul tidak mempunyai nasib. Aku rasa, percaturan China menjadikan Chen Long sebagai perseorangan pertama dan menjadikan Lin Dan sebagai perseorangan ketiga membawa kepada titik kekalahan mereka. China mungkin memandang rendah kemampuan Jepun semasa menyusun atur pemain mereka.  Teringat keangkuhan China terutama jurulatih mereka (aku lupa namanya, tapi dia selalu memakai cape) edisi 2010 di Indonesia bila dia asyik meninbulkan provokasi sehingga menimbulkan rasa kurang senang para penyokong dan penonton tempatan.  Keangkuhan China juga sangat terkesan waktu edisi 2012 di Malaysia.  Tahun 2014 ini, keangkuhan mereka selama ini dibalas dengan kekalahan memalukan dan seterusnya membawa kepada kesenyapan mereka di stadium badminton India.  Tapi, jauh sudut hati, aku rasa kasihan juga.  Aku tetap rasa, kepuasan yang paling hebat adalah, Malaysia mengalahkan China di pentas akhir, atau mengulangi kenangan manis mengalahkan Indonesia di pentas akhir seperti tahun 1992 dulu.  Keehoiii!!! 

Dan sejarah terlakar lagi...

Malaysia juga ke pentas akhir, setelah kali terakhir melakukannya pada edisi 2002, kalau aku tidak silap.   Malaysia mengalahkan Indonesia juga 3-0 pada separuh akhir tanpa perlu berhempas pulas.  Siapa sangka Malaysia berjaya ke separuh akhir, apalagi team Thomas Cup & Uber Cup kali ini dikatakan sebagai team yang paling lemah.  Ketika membawa team ini ke India, sasaran Malaysia hanya setakat ke suku akhir dan bernasib baik jika mampu ke separuh akhir.  Tapi, nasib menyebelahi Malaysia kali ini.  Manis betul rasanya. Mungkin, kerana datang ke India tanpa tekanan harus berjaya ke pentas akhir, Malaysia menggandakan semangat untuk berjuang habis-habisan hingga berjaya menempah tiket ke pentas akhir.

Ini peluang membawa balik Thomas Cup ke Malaysia. Aku kira, 2 tahun dari sekarang, pastinya China berazam setinggi langit mahu merampas kembali Piala Thomas ke tangan mereka sekaligus meningkatkan kekuatan dan mengembalikan maruah mereka yang tercalar edisi kali ini.  Tapi, pastilah Jepun mahupun Malaysia, sekiranya menang,  akan mencuba sedaya upaya mempertahankan Piala Thomas.

Teringat, tahun 1992 dulu, waktu itu aku tinggal di asrama, berbekalkan radio, kami mengikuti siaran langsung Piala Thomas akhir, Malaysia vs Indonesia dengan teriakan-teriakan debaran dan kegembiraan dalam gelap.  

P/s: Aku harap kalau Malaysia menang Thomas Cup pada ahad, PM akan umum cuti umum.

No comments:

Post a Comment

Cerpen Lama

Selasa lepas, saya dan sobat, Inawati flash back cerita lama fasal secret admire zaman sekolah menengah. Habislah segala kisah bikin malu d...