Monday, October 23, 2017

Karnival Buku Keningau 2017: Hari Kedua

Hari paling berbaloi buat saya. Dapat ke bual bicara buku bersama Tuan Abednigo Chow YS. Saya lupa nama penuh beliau. Yang saya ingat, ada Y dan S untuk nama keluarganya. Beliau, menulis buku mengenai Keningau. Sayangnya, saya tidak mengambil gambar buku itu. Rasa segan membantut keinginan. Harapnya penulis dan bukunya datang lagi besok. 

Bicara buku bersama beliau hari ini dalam masa yang agak singkat bagi saya, berjaya membuat kami menelusuri Keningau semasa era penjajahan British, kedatangan jepun dan pasca penjajahan. Kamu mahu tahukah? (Ini ayat beliau(dalam loghat Sabah), sebagai mengajuk cara orang-orang tua dahulu ketika bercerita kepada beliau perihal Keningau). Banyak dokumentasi mengenai Keningau malah artifak juga; ada tersimpan di Australia. Malah, ada satu bangunan khas untuk menyimpan dokumen mengenai Keningau di sana(saya lupa banngunan apa). Kata penulis, sekarang dokumen2 itu sudah banyak yang didigitalisasikan, namun masih ada dokumen yang masih tersimpan di dalam galeri dan hanya boleh diakses dengan membuka sendiri dokumen tersebut dan membacanya(membuat salinan misalnya). 

Melihat keningau semasa zaman penjajahan melalui rakaman berwarna tanpa suara(penulis ambil daripada arkib di Australia); dengan kesucian hutan, balak sebesar 5 pemeluk lelaki dewasa(anggaran saya), dengan usaha askar Australianya, warga yang sedikit naif, saya kira ia menerbit makna dalam hati. Terbau ironi dengan kemajuan yang boleh dibanggakan sekarang. Ledakan ironi menjemput bau itu menekan hati saya, mengingat apa yang  Keningau pernah ada satu masa dulu. Yang kalau dikekalkan, mungkin membawa makna lebih besar(kalaupun tidak semua mahu menghargainya). Generasi kami tidak lagi dapat membaunya, sisa pun sudah mampus dibunuh kapitalis). 

Sempat kami memberi tepukan, apabila penulis anak jati Keningau ini, bila dia berjanji akan menterjemah naskhah hebat beliau(4 tahun kajian) ke dalam bahasa melayu. Agar lebih ramai yang dapat menikmatinya. Saya tahu, ramai pencinta buku orang Keningau yang sanggup membelinya biar semahal apapun harganya. Saya sendiri misalnya. 

Ah! Tiba-tiba sahaja, saya mahu ke Australia. Menjejak bangunan itu(saya lupa penulis menyebutnya sebagai apa tadi) yang di dalamnya tersimpan sejarah daerah kelahiran saya. Banyak sejarah Keningau yang tidak ada di arkib Sabah tapi ada di Australia(di bangunan yang saya lupa namanya). Selalu saya bilang pada kawan-kawan, saya tidak boleh hidup selain di keningau dengan tenang. Ah...Naif!

No comments:

Post a Comment

Cerpen Lama

Selasa lepas, saya dan sobat, Inawati flash back cerita lama fasal secret admire zaman sekolah menengah. Habislah segala kisah bikin malu d...