Saturday, May 11, 2013

DMD: Naluri Ayah: Ulasan Ikut pencernaan Otak dan Hati aku

Aku baru saja selesai membaca novel DMD: Naluri Ayah.  Bermakna, aku sudah habis membaca 5 siri novel DMD.  Di akhir muka surat, aku menangis.  Kenapa aku menangis?  nanti aku ceritakan sekejap agi.


Baik...

Siri DMD: Naluri Ayah membawa kita mengenali jiwa-emosi-naluri makhluk bernama lelaki.  Ya, lelaki itu penuh dengan ego yang menggunung.  Sekali lagi, BB menulis ceritanya melalui cara yang paling santai dan paling dekat dengan cerita sebenar kehidupan kita.  Dia tidak mengupas bagaimana selayaknya kehidupan-hubungan-kekeluargaan ini dengan menceritakan konflik jiwa-perasaan yang terlalu sarat dan kompleks, tapi mengembangkan jalinan ceritanya dengan lebih mesra dengan realiti hidup berkeluarga; dan seperti 4 novel sebelumnya, banyak bahagian ceritanya yang buat aku ketawa sampai sakit perut (kenapa aku baca sampai sakit perut? ada terjawab dalam P/s di bahagian bawah sekali entri ini).

Siri DMD: Naluri Ayah membawa kita mengenali jenis perasaan soerang ayah.  Maksud aku, tentang kerisauan terbesarnya-tentang kemahuan sebenarnya-tentang kasih-sayang yang paling dalam.  Tapi, semuanya tidak terungkap dengan kata-kata dan cara yang menyenang hati kita sebagai anak.  Sering kita salah-sangka malah merasa jengkel dengan tindakan seorang bapa.  Kita lupa, sebagai manusia bernama lelaki, bapa juga punya ego-ego yang harus dia pertahankan.  marilah kita bentuk hati kita supaya percaya apa juga yang bapa kita lakukan, itu adalah tanda dia menyayangi kita.  

Insan bernama lelaki, mereka jarang menyatakan perasaan mereka melalui kata-kata tapi lebih pada tindakan.  Perkataan yang paling jarang mereka ucapkan, adalah menyatakan rasa sayang mereka, terutama kepada kedua ibubapa.  Malah pada saat paling getir pun, aku kira mereka susah untuk mengungkapkannya (walaupun, mungkin tidak semua lelaki bersikap seperti itu).  Kadang-kadang, mereka melakukan hal-hal yang pelik demi untuk menyatakan dan menunaikan hasrat mereka terutama dalam hal kasih-sayang.  Lelaki jarang mahu memberitahu apa-apa.

Setiap lelaki, sejak dari awal sebenarnya sudah terpupuk naluri seorang ayah, iaitulah mahu melindungi, mengasihi dan melihat orang yang disayanginya bahagia.  Oleh itu, membaca novel ke-lima BB ini, membawa kita menyelami hati-jiwa-koflik yang melibatkan perasaan lelaki terhadap orang yang paling disayanginya.

Berbalik kepada kenapa aku menangis pada akhir cerita, (cengengkah aku?)

Ia mengingatkan aku kepada pengorbanan Abah aku semasa aku menghadiri temuduga akhir kemasukan ke Maktab Perguruan Malaysia, masa itu tahun 1999.  Aku masa itu sudah putus harap dan langsung sahaja mahu membawa kedua ibubapa aku balik, tapi Abah menegahku.  Aku masih ingat lagi bagaimana kesanggupan Abah berulang-alik dari Kota Kinabalu-Keningau-Kota Kinabalu dalam masa satu hari untuk mengambil IC aku yang terlupa di dalam bilik aku.  Aku tahu Abah menahan rasa marahnya kepada aku, tapi kerana aku anaknya, dan seperti kata Bahruddin Bekri( aku memetik dialog antara Rayyan dan Ayahnya, Zahid Hamidi) yang aku tukar dan rangkumkan dalam bentuk anekdot, "tiada apa yang dapat Abah aku lakukan selain memaafkan aku kerana dia menyayangi aku".  Aku tahu, Abah memikirkan masa depan aku dan mahukan anaknya juga mempunyai pekerjaan yang maksud sebenarnya, dia mahu masa depan aku terjamin.  Aku juga terkenang beberapa lagi pengorbanan Abah aku kepada aku sepanjang aku bergelar anak yang tidak perlulah aku ceritakan, nanti jadi macam menteri penerangan wanita pertama Malaysia pula.  Satu yang paling terkesan sehingga sekarang, kalau bukan berkat doa Mama dan Abah aku, tidaklah aku merasa peluang masuk ke Maktab Perguruan dan berpeluang menjadi seorang guru.  Tidaklah aku berpeluang mencapai cita-cita menyambung pelajaran.  Aku kira tanpa berkat doa Abah dan Mama, sampai sekarang aku hanya pemegang ijazah tak bertauliah atau hanya bekerja di dapur rumah aku.   Tak terbayar rasanya semua pengorbanan Abah aku kepada aku selama ini.  Tapi jarang pula aku mengatakan yang aku sayangkan Abah aku.  Aku cuma cium pipi Abah aku masa hari raya dan masa hari jadi Abah.  Betapalah aku anak yang gagal menzahirkan rasa cinta dan kasih-sayang aku melalui kata-kata, perbuatan juga.  

Sebenarnya, bagi seorang "Bapa" atau apa saja panggilan untuk bapa kamu, mereka bukan mahukan sangat duit kita, apa lagi pemberian berupa barangan berharga, apa yang mereka mahukan adalah kasih-sayang kita, kesanggupan kita untuk meluangkan masa berbual-bual dengan mereka, mendengar dia bercerita dan juga perhatian kita.  Kadang-kadang kita terlepas pandang perkara-perkara kecil tapi sebenarnya cukup besar dan berharga kepada mereka.  Mungkin sebab kita merasa kita sudah dewasa dan sudah pandai menjaga diri sendiri.  Tapi, percayalah; kita tidak sebenarnya.  Kita masih memerlukan mereka walaupun mereka sudah tua dan kita masih muda-mereka sudah tidak kuat sedangkan kita masih kuat dan bertenaga, kita sebenarnya masih memerlukan mereka, malah sangat memerlukan mereka.  Bagi yang sudah bersuami, ada ketikanya, si suami itu tidak dapat membantu kita kecuali bapa kita sendiri. (aku belum bersuami, jadi ini cuma pendapat aku sahaja, hasil tinjauan dan pengamatan aku, maaf kalau aku salah).   Benarlah kata-kata ini...

bahawa...

"Kematangan bukan hanya memikirkan perkara-perkara yang besar, tetapi ia bermula dengan memerhatikan perkara-perkara yang kecil"...

P/s: Aku bukan cengeng tapi penyedih barangkali, mudah sebak dan mudah mengalirkan airmata jika hati aku tersentuh.  Aku juga mudah ketawa dan merasa lucu walaupun hal-perkara itu tidaklah lawak atau melucukan sangat pun...hehehe!!!

No comments:

Post a Comment

Cerpen Lama

Selasa lepas, saya dan sobat, Inawati flash back cerita lama fasal secret admire zaman sekolah menengah. Habislah segala kisah bikin malu d...