Sepatutnya entri ini aku tulis sebelum entri ulasan novel Bahruddin Bekri bertajuk "DMD: HE karya BB" yang mengikut pencernaan otak dan hati aku sendiri. Hal ini mungkin disebabkan oleh kerakusan minda aku dengan sedikit keyakinan yang menggunung...hehehe!!!
baik entri adalah untuk menayang (bukan maksud sebenar) novel yang baharu saja aku dapat tadi. Novel yang aku tunggu-tunggu kehadirannya. Aku mengenali novel ini, menerusi Zulieqah. "Diari Ungu Untuk Nuha". Ulasan daripada Zulieqah menyebabkan aku tertarik hati. Aku menggelarkan novel ini sebagai "SUUN". Aku sedikit kecewa apabila dua lagi novel yang aku tunggu iaitu, "Jaja & Din" dan "Hlovate", tidak ada bersama di dalam bungkusan poslaju yang aku terima petang tadi. Tidak apalah, mungkin ada hikmah. Aku berkehendak, tetapi Allah lebih berkehendak. Lagipun, Zulieqah akan bertanya kepada pihak jemari seni berkaitan dua lagi novel yang telah ditempah dan dibeli oleh aku. Mendapat novel SUUN ini sudah mengubat rasa kecewa aku...ceh, ayat!!!
Novel "SUUN" aku, "comelkan kak Ton?" |
oh ya, satu lagi novel yang bakal aku baca adalah pemberian seorang kawan-rakan sekerja-sekampung aku, Rosnini namanya. baru-baru ini dia dan suaminya, mengahadiri Festival Buku Antarabangsa, di Kuala Lumpur. Dua-tiga-sehari sebelum dia berangkat ke KL, aku dengan tidak malunya, meminta dia membelikan aku novel, tapi dengan niat nanti aku akan membayar balik harga novel itu. Tapi, waktu dia memberikan novel itu, Isnin lepas sehari selepas PRU13 dan kebetulan kami cuti mengejut kerana tidak ada seorang murid pun yang datang ke sekolah, aku sangat gembira dan menanyakan harga buku itu, dia mengatakan yang dia memberikan buku tanpa harga-percuma. Wah, tidakkah aku patut gembira berganda. Berkali-kali aku mengucapkan terima kasih pada dia.
Novel pemberian Rosnini, adalah sebuah novel hebat dan aku pasti (setelah membaca sinopsis) malah tajuknya sahaja, novel ini mempunyai koflik jiwa-perasaan-perjuangan-persoalan-kehidupan yang kompleks. Aku telah menetapkan bahawa novel ini, adalah novel yang paling akhir aku baca (kerana aku perlu membaca dua lagi novel, iaitu Diari Mat Despatch: Naluri Ayah dan SUUN) kerana aku menganggap novel ini kompleks. Penyampaian isinya tentu saja serius tanpa ada unsur-unsur humor, tidak seperti siri novel DMD yang ditulis dengan lebih santai pada konflik-konflik mengenai hidup dan paling penting mampu membuat kegelian pada urat kentut aku sehingga membuatkan aku ketawa terbahak-bahak. Penulisan BB lebih dekat kepada kehidupan kita, cuma saja ia disampaikan dengan bersahaja tanpa perlu menegangkan urat leher, yang perlu cuma, menahan urat kentut supaya tidak terkentut semasa ketawa terbahak-bahak.
Apapun, aku sangat menghargai novel ini kerana ia pemberian seorang kawan. Aku juga memerlukan novel yang lebih serius untuk mencuci otak aku yang makin berkarat ini. Maklum saja, aku malas sekali membaca buku-buku ilmiah, hatta menonton berita saja aku tidak suka. Jadi, melalui novel ini, aku rasa aku boleh menyelami konflik kehidupan-kejiwaan-kemanusiaan yang dihadapi oleh masyarakat teraniaya di Afghanistan. Aku juga bakal mengembara ke-satu ruang masa yang panjang dan tegang malah mungkin sedikit pegun (perkiraan aku setelah membaca sinopsisnya). Seperti pusingannya hidup, ia tetap terkait dengan pilihan; dan dengan pilihan yang ada dalam ruang masa itulah, mereka memilih untuk menyediakan ruang bahagia walaupun kabur kerana keyakinan mereka, bahawa hidup ini umpama pusingan roda; adakalnya di atas, adakalanya di bawah. Matahari pasti akan muncul selalu, menggenapkan pusingannya. Begitulah harapan mereka, sirna itu tetap ada untuk mereka terus hidup di bumi Tuhan. Aku kira aku akan dapat menyelami sedikit persoalan megenai kehidupan-kejiwaan-kemanusiaan dari sisi lain.
P/s: Tetap saja menerima pemberian daripada kawan-sahabat adalah yang paling manis sekali.
No comments:
Post a Comment