Sunday, December 28, 2014

Hati

Kerja mentadbir hati ini, susah. Tuntutan sabar dan redha sangat perlu. Hati perlu bersih dan dibersihkan.



Saturday, December 27, 2014

Gagal

Kau tahu kenapa kita-kau-aku selalu tersesat? Kerana kegagalan mengikut papan tanda Allah.

Astaghfirullah al-Azim.

Thursday, December 25, 2014

Hilang

Hilang bahasa untuk menyenang hati sendiri
Hanya langit-langit lunak bisa mengerti
Turunlah hujan
Bersihkan gusarku yang menekan
Kembalikan bahasaku
Kembalikan lidahku 
Aku mahu bicara
Tentang rasa
Tentang hati

P/s: Mana radar pengesan bimbang.

Tuesday, December 23, 2014

Sarkas

Entri ini aku ambil dari status FBku, terbit dari entri asal tahun lalu bertajuk "Redha". Sengaja aku jadikan entri untuk aku jadikan ibrah buat diri, biarpun ketika aku post status ini di FB, tujuannya asalnya adalah untuk sindiran, satu sarkasme.

...Manusia akhir zaman ini ditandai dengan manusia yang bijak berkata-kata menggunakan bab agama sebagai medan pertahanan untuk membuat dia kelihatan sangat bagus, bukan dimata Tuhan, tapi dimata manusia-bermaksud pujian.  Tapi, siapalah manusia-kita-kamu-kami-kau-aku untuk menghakimi.  Entahlah, terpulang kalian.  Bak kata seorang sahabat,  tidak perlu cakap banyak, kita masing-masing sudah dewasa untuk berfikir...

P/s: katak pun pandai minta puji bila tau ada peribahasa melibatkan dorang.

Cinta

Kalau dapat kuterjemahkan cinta
Pasti awan bertukar menjadi merah jambu
Bukan sebagai saksi cinta
Tapi sebagai bukti
Bahawa Tuhan mewujudkan cinta
Untuk dikongsi,
Untuk dirasa,
Untuk bahagia.

Cinta,
Cinta, 
Cinta.

Kalaulah kau benar-benar faham apa itu cinta.

Kekal

Kekalkan kenangan, kerana kenanganlah yang menghidupkan rindu.


Kekalkan rindu, kerana rindulah yang menghidupkan kenangan.

Teman Sejati

Kelmarin, waktu aku dan Issa lagi berinteraksi lewat komen dalam FB, Issa bilang, dia punya status baru, begini:

Kata Issa Unga...

"...teman sejati itu seperti hingus, selalu menemani dikala air mata menitis..."

Cantik dan lucu, dan sebagai respon:

Kata aku...

"...teman sejati itu seperti pipi, selalu ada untuk air mata menitis dan mengalir, kekal di situ, menemani; sekalipun air mata sudah kering..."

P/s: sebagai apa pun teman sejati didefinisikan, aku memang tidak layak untuk dijadikan teman sejati siapa pun.  

Wednesday, December 17, 2014

EGO

Kalaulah kita berani ketepikan semua ego-ego bodoh, kalaulah kita mahu berdamai dengan masa lalu.

Ini masih rentetan tentang rindu...

Like yesterday, I cried because I miss you

Jangan biarkan ego mengatasi rindu, ego itulah yang membuat hati jadi beku.  Aku belum rela jadi frozen.  Tapi itulah, ego itu kadang dominan, selalu dominan.  Itu kesalahan yang fatal, kegagalan manusia dalam mengurus bahagia yang banyak, manusia, aku dan kau.

Bahagia itu banyak. Ironinya, manusia selalu gagal mengurus bahagia.

E G O I S

Sayang seribu kali sayang.

RINDU

Kau tahu,
Rindu itu berat.
Pernah kau timbang?
Berapa berat rindu


P/s: Like yesterday, I cried because I miss you.

Untuk Issa Unga, kawanku...

Rindu itu baja hati
Cuba kau siram, 
Nanti jasadnya hidup
Nyawanya tambah sepuluh
Kenangan yang lesap kembali meresap
Bekunya hatimu,
Cair kembali.

P/s: Kekalkan kenangan, kerana kenanganlah yang menghidupkan rindu.




Monday, December 15, 2014

TAMBIRANG SI SAMAD

Sudah 3 bulan Samad bekerja di semenanjung di sebuah saloon kecantikan.  Samad terpaksa menukar identiti, dari seorang anak dusun tagap kepada seorang lelaki lembut.  Dari gaya rambut, pakaian dan mekap, semuanya sudah berubah.  Ya, Samad sudah pandai mengenakan mekap, eye liner rona coklat dan pelembap muka jenama dari Korea.  Bibir samad kelihatan berkilat, dia menggunakan pelembap bibir perisa strawberry, menyerlahkan lagi warna pink asli bibirnya, dengan kulit putihnya, penampilannya, saling tak tumpah meniru gaya K-pop.  Namanya juga sudah bertukar moden, Sammy Dee, itu nama glamour Samad di Kehel.

Ya, samad menjadi hair-stylish yang agak terkenal di Salon Qu Hitam.  Pada awal dia bekerja di Salon ini, Samad hairan bin ajaib kenapa taukeh salon ini tergamak menamakan kedai salonnya sebagai Qu Hitam.  Sangat tidak komersil dan macam entah apa punya nama salon, itu apa yang samad fikirkan.  Pernah juga dia bertanya pada bossnya, tapi jawapan taukeh kedai itu membuat samad terdiam tidak berani hendak bertanya lagi.

“Boss, kenapa nama Salon namanya ni Qu Hitam, boss ada kaitan ke dengan Qu Puteh, puteh-puteh baru puteh tu?”
“Salon  ni nenek gayung kau punyakah?”
“Tidak”
“Jadi, kau diam”.

Sejak dari perbualan serius seram antara samad dan bossnya, samad bertekad untuk menjadi pekerja contoh.  Samad takut dengan mata helang bossnya, misai lentik bossnya yang mengalahkan Wak Doyok itu agak menggerunkan Samad.  Sudah lah dia di suruh diam oleh bossnya. Samad tidak mahu diberhentikan kerja, nanti makan Maggie kari lagi, hari-hari, Samad tidak mahu ketiaknya berbau kari. Hidup di Kehel ini ngeri. Bukan macam di kampung, kepayas pun boleh bikin sayur.Samad mula mencari identiti baharu supaya dapat meyakinkan pelanggannya bahawa dia hair stylish yang bagus, yang hebat.  Samad berlatih bersungguh-sungguh menggunting dan menggayakan rambut dari seniornya yang terer gila dalam semua gubahan rambut, siang malam, malam siang, hari berganti hari, penuh konsentrasi.  MAsa UPSR, PMR apalagi SPM, Samad tidak pernah sebegini gigih.  Gigih yang paling gigih...whatever!!!

Samad mula membuat transformasi diri…ces!!! 

Samad sudah tidak suka pada roda pusing-pusing lagi.  Samad sudah mula meminati pekerjaannya.  Samad mengubah percakapannya, mengikut gaya orang Kehel, Samad tidak mahu ketahuan sebagai orang Sabah.   Nada suaranya sengaja dilemah lembutkan dengan bibir yang sengaja dicomel-comelkan bila bercakap.  .  Usahanya membuahkan hasil, malah samad sudah tahu roda pusing-pusing itu ialah ferris wheel dalam bahasa Inggerisnya.  Samad juga sudah tidak makan Maggie kari campur telur dan lada, di tukarnya kepada Maggie Royal Korea, supaya aura Korea itu melekat ketat dalam dirinya.  Identiti Dusun dalam dirinya disembunyikan.  Minta puji betul si Samad.  Setelah berlatih menggunting dan menggayakan rambut, Samad diberi tugas menggayakan rambut pelanggan pertamanya.

“Gunting?
“Ya, I nak style layer”.
“Ok, miss”.
“Eh, tapi, I nak belah kanan you pendekkan sampai bawah telinge, belah kiri you panjang sikit sampai paras leher”.
“Rasanye, itu style Bob”
“oh yeke,bob ke tu? , satu lagi, I nak ada rambut depan, tapi jangan limpas kudau ye”.
“Hahaha….kudau”

Samad tergelak sendiri sampai terduduk.  Pelanggannya tercengang, muka berubah merah.  Kotoh, siapa suruh berlagak cakap Kehel.  Terkeluar sabahan dan dusunnya. 

“Ko pehal Sammy, apa yang lawak? Kawan sekerja Samad tercengang, boss Samad blur.  Tidak faham apa yang terjadi, tidak faham bahasa satu hal.
“Kudau”.
“Hahaha….dia bilang rambut depan jangan limpas kudau”.
 “What’s limpas kudau? Tanya boss Samad.Misai lentiknya bergerak-gerak, macam misai kucing mengesan radar makanan.

Samad terus tersedar.  Dia pura-pura menyapu dahinya, padahal samad mahu menepuk dahinya akibat dia hampir mendedahkan identitinya, sebagai anak sabah berbangsa Dusun.

“Xde ape2 boss. I saje buat Maharaja Lawak Mega macam kumpulan Zero tu”.

Samad meneruskan kerjanya.  Menggunting rambut seperti permintaan pelanggannya.  Setelah membuka kain pengalas yang menutup badan pelanggannya, tiba-tiba pelanggan itu berbisik…

“Kau urang sabah kan, urang Dusun”
“Tak lah, I orang Kehel”
“deiii…pura-pura lagi, jadi kenapa kau tau kudau”
“Hei, I orang Kehel okey”. Samad terus meninggalkan pelanggan itu dengan lenggoknya yang sengaja dilembutkan.

Samad meneruskan hidupnya dengan berhati-hati.  Insiden hari itu hampir mendedahkan dirinya sebagai anak Dusun  Sabah.  “Choii"…kata samad dalam hati, "hampir-hampir kedapatan”. Sedar-sedar tidak sedar, sudah 6 bulan samad bekerka di Salon Qu Hitam.  Sudah 6 bulan samad meninggalkan kampungnya.  Samad sudah menjadi terkenal.  Ramai pelanggan suka pada cara samad menggayakan rambut mereka.  Boss Samad tersenyum padanya, manis, mata helang bossnya juga sudah tiada, misainya tidak bergerak-gerak lagi ketika melihat samad.  Sammy Dee menjadi sebutan datin-datin montel.  Sammy Dee semakin sibuk, sibuk yang kalah-kalah kau menteri penerangan.

Satu hari, Samad menerima panggilan dari kampung ketika makan di KFC bersama rakan sekerjanya.

“Helow, Samad, muli ne keti?”
“hello, apa ni, saya tak fahamlah awak cakap ape?”
“Muli ne keti Samad, sumakit ne yi apa”
 “apa awak cakap ni, saya tak fahamlah”
 “Saye ni si Eton, kakek kau, budduh, muli”

klik. 

Jeda
Di kampung di Sabah...

"Cilanat punya Samad.  Tambirang butul, baru 6 bulan kunun pi karaja di Kehel turus tidak faham lagi cakap Dusun, naaanti kau Samad, ko balik kampung, saya tedes-tedes macam lios si ungka, saya pisit-pisit  ngawi tu lolow ko, ko tingulah”.  Marah Eton dengan penuh geram, tangannya dikepal-kepal. 

Jeda
Di KFC di Semenanjung...

“Sape tu Sammy?”
“Ntah, dah la cakap bahasa Flinstone”.
“Wrong Number kot”
“Ye Kot”, kata Samad sambil menggigit comel KFC.  Samad teringat cermin oren yang dicurinya dari Kakaknya Eton.  Si Akak kalau meradang, habislah.

Selang beberapa hari…

“Helow, Samad muli ne keti”
“Hey, you cakap ape ni, I tak faham”
“Samad Keti, Muli”
“You, berapa kali I nak cakap, I tak faham ape you cakap”
“Tambirang punya budak, naaaanti ko sana, muliiiiiiiiii”
“Muli ne keti Samad, napatai ne yi Apaaaaaa”Eton terus menangis. Pilu.
“Haaaaaahhh, ereeeeeeeeeeeiiiiii, seiraaaaaa poooooohhh”.
"Apaaaaaaaaaaaaaaaa".

Klik.

Samad terus meminta cuti emergency.  Bahasa Sabah Samad terus keluar bersama suara jantannya.  Lenggoknya tidak lagi lembut.  Sammy Dee kembali menjadi Samad.

Saturday, December 13, 2014

The Teacher's Diary - We're The Same (w English and Thai Lyric)

Aku suka dengar lagu Thailand ni, selepas tengok filem "The Teacher's Diary".  Bila dengar, ada rasa yang hadir dalam hati. Apa pun, 'rasa' itulah yang membuat aku suka dengan lagu ini.  




Filem ini lucu, simple, tapi memuaskan hati aku.  

Thursday, December 11, 2014

Manusia Galau

Kau tahu...
Manusia ini suka berlewah dalam menunjuk perasaannya kalau lagi galau. Manusia ini suka berlewah dalam menunjuk aktingnya, apalagi sisi baiknya. Jarang sekali yang bersifat natural. Aku merapu apa, aku pun tidak tahu. Hujan membuatkan aku jadi manusia sejuk hati, sejuk perasaan. Tapi, aku masih suka hujan. Hujan itu tanda rahmat Tuhan. Sebal, ini semua salah katak. Mereka menyanyi lagu hujan. Lagu hujan lagu romantik.

Aku cuma sebal dengan manusia yang terlalu berlewah menunjuk aktingnya, perasaannya, perlakuannya, tentang kepura-puraan.  Manusia ini masih indah untuk dicarut dan dimaki. Manusia punya keanehan yang abstrak, keanehan manusia itu satu nuansa yang tidak terdektasi. Justeru, aku berada dalam dua keadaan, berdepan dengan manusia punya kelewahan dalam menunjuk perasaan dan akting: antara faham dan pura-pura tidak faham. Aku tidak akan membenarkan kalian menafsir aku sebagai hipokrit, aku lebih suka kalian menanggapi sebagai neutral, jangan muntah hijau dulu, sabar dan telan balik muntah itu. Aku masih belajar menjadi neutral.  Hujan masih merintik, menerbitkan rasa romantik, dan katak masih menyanyi. Bingit, penyebab galau.

"Kau ingat, katak-katak itu sengaja buat bising panggil hujan, sebenarnya; itu suara meminta rahmat Tuhan".  Jadi, kau bising-bisingkan-lah-mulutmu, minta rahmat Tuhan, ucap syukur 21. Mintanya katak saja didengar Tuhan, inikan pula, kau.

Aku harap, hujan malam ini, hujan rahmat. Siapa tahu, Tuhan menurunkan izinNya atas doa-doa kalian.  Aku terjaga, terpisat-pisat. Ku lihat screne Astroku gelap, Service Currently Not Available. Cis,  Astro memang menyebalkan, lebih menyebalkan dari Malaysia kalah 2-1 ahad lepas. Aku tetap sayang Bola Malaysia.

Wednesday, December 10, 2014

H.B.T.M

H.B.T.M

Terima Kasih Mama
Terima Kasih Abah
Kerana kalian,
Aku ada di sini.
Hidup dengan kasih sayang kalian.
Hidup dengan rahmat Tuhan.
Terima Kasih untuk semua yang aku sayang,
Abah, mama, adik-beradik, anak buah, sahabat.


Ini Gawat Pak!!!

Ringgit Malaysia jatuh
Tiada Subsidi Minyak 
Kegawatan Ekonomi 
Dan...
Untuk rakyat Malaysia,
Jom bersedia menghadapinya.
Terus berusaha, semakin kuat mencari rezeki, lebih baik daripada:
1. Merungut.
2. Mencarut.
3. Mencari kesalahan penyebab masalah ini.

Kita orang-orang yang kuat.  Semoga rakyat Sabah akan dapat mengharungi kemelut ini. Aamin.



Tuesday, December 9, 2014

Tentang Gila

Kegilaan terbanyak dalam hidup, dalam cerita sang penulis, adalah tentang cinta.  Tentang kerakusan manusia mengejar cinta, tentang kegagalan mengenal cinta, tentang kegagalan membahagi cinta, tentang khilaf bermain cinta
tentang silap memilih cinta.

P/s: ini bukan entri kejiwangan, ini kegilaan.

Wednesday, December 3, 2014

Bulan Buku: Disember

Buku kedua dalam bulan Disember. Novel yang sudah sebulan lebih aku intai, akhirnya, jadi koleksi.  Alhamdulillah.

Setelah 3 kali tawaf, dan hanya dapat parkir kereta di Wan Lip Electronic, agak jauh juga dari Adamas, walaupun tidak dapat membakar kalori, semput berjalan terasa juga, akhirnya; Si Raudhah, jadi milik saya juga.

Teringat kali pertama baca novel RAM, Tombiruo. Teruja sebab, Tombiruo, tinggal di Hutan Keningau.



P/s: Bahagia itu banyak. Ironinya, manusia selalu gagal mengurus bahagia. 

Monday, December 1, 2014

Bulan Buku: Disember

Novel Igauan Maut sudah selamat sampai ke tangan aku hari ini. Zuhur tadi, aku terima sms daripada Poslaju, dan, aku terus tahu, itu adalah novel RAM yang aku tunggu sejak seminggu lalu. Gembira tahu!!! 


Novel ini adalah karya pertama RAM. Edisi kali ini adalah edisi terhad, cuma ada 500 naskah dan merupakan cetakan ketiga, cetakan pertama pada tahun 1995. Korang tak akan dapat novel ini di kedai buku. FYI, cetakan ketiga ini, sudah habis dijual.  Kredit paling tinggi buat RAMFC Store dan RAMFC. 

Senyum simpul.

Cerpen Lama

Selasa lepas, saya dan sobat, Inawati flash back cerita lama fasal secret admire zaman sekolah menengah. Habislah segala kisah bikin malu d...