Sunday, October 29, 2017

Bulan Buku: Oktober 2017

Dapatan hari ke-8 Karnival Buku Keningau. Hari terakhir. Entah bila lagi karnival buku macam ini akan diadakan di Keningau. Sengaja tidak pergi hari terakhir. Buku ini aku minta adik aku tolong beli. 


Sampai jumpa lagi Karnival Buku Keningau.

Saturday, October 28, 2017

Bulan Buku: Oktober 2017

Dapatan hari ketujuh Karnival Buku Keningau. Saya beli kerana buku ini terkenal. Cetakan ke-12 pada tahun 2015. Kisah sebenar penulis. Sebut sahaja, Awek Chuck Taylor, pasti peminat buku tahu kalaupun tidak semua. 
Sempat berperang dengan hati tadi. Hajatnya, hendak beli buku Seyogia. Akhirnya, terpaksa pendam dulu. Insya-Allah, akan beli pada November. Dalam perancangan, sudah ada 4 buah buku buruan.

Tuesday, October 24, 2017

Karnival Buku Keningau 2017 Hari Ketiga: Kenangan itu Kerinduan

Hari ini ke bual bicara buku bersama Pak Latif. Pelajar daripada SMAN dan Pusat Tahfiz Ar-Rahman sebagai jemputan. Sesi soal-jawab meriah sungguh. Para pelajar tidak segan bertanya soalan. Ada hadiah disediakan penganjur berupa buku. Dengki sangat.  Saya pasti hadiah itu disediakan khas untuk pelajar yang bertanya soalan. Ada satu pelajar Tahfiz yang saya suka soalannya. Dari cara dia mengutarakan soalan, pendapat dan perasaannya pada buku-buku Pak Latif, amat berbeza dengan pelajar yang lain. Saya gak dia seorang pelajar pintar.




Dapat tandatangan Pak Latif dan berbual dengan beliau buat saya senyum dan gembira. Pak Latif sopan santun bahasanya. Pengalaman beliau tidak ternilai harganya. Semoga Allah mempermudah urusan rezekinya, kesihatan dan ilham berterusan. Biar beliau terus dapat berkarya. Orang baik disayang Tuhan.



"Ini buku Pak Latif"?
"Iya, buku saya. Dapat dari mana?"
"Dari reruai DBP. Saya ada terbaca satu blog, dia senaraikan 100 buah buku yang harus dibaca. Salah satunya buku ini".
"Buku Merentas Ranjau?"
"Iya, Pak Latif"
"Boleh saya bergambar dengan Pak Latif?"
"Ya...ya...boleh"


Setelah berbalas ucapan terima kasih dan mendoakan kesihatan beliau saya meminta diri. Katanya,

"Semoga berjumpa lagi"

Hari yang sangat berbaloi-baloi. Hari yang menerbit senyum bulan sabit. Ditambah dengan mesej daripada poslaju. Kenapa tidak?

Kenangan itu Kerinduan. Program begini di Keningau bukan selalu datang. Entah-entah lima tahun selepas ini baru ada lagi. 

P/s: Harap-harap team Tombiruo datang buat roadshow di sini. Inikan Keningau. Tempat kisah itu bermula.


Bulan buku: Oktober 2017

Dapatan hari ketiga, Karnival Buku Keningau. Saya dapat tandatangan Pak Latif untuk buku 'Merentas Ranjau'. Hari yang berbaloi-baloi.
Trilogi Tombiruo. Sebenarnya, saya cuma perlu beli dua lagi buku daripada trilogi ini. Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. Tapi, sengaja saya beli tiga, sebab buku  Tombiruo: Penunggu Rimba, hendak saya hadiahkan pada sahabat saya, Fatine. Katanya, mahu membaca buku ini. Harapnya, dia belum beli lagi. Iya, filem Tombiruolah punca saya beli trilogi ini. Ikutkan, hendak beli tahun depan, waktu PBAKL 2018. Ceh!
Yang berbalut itu: Tombiruo: Penunggu Rimba. Hadiah buat Fatine.




Monday, October 23, 2017

Karnival Buku Keningau 2017: Hari Kedua

Hari paling berbaloi buat saya. Dapat ke bual bicara buku bersama Tuan Abednigo Chow YS. Saya lupa nama penuh beliau. Yang saya ingat, ada Y dan S untuk nama keluarganya. Beliau, menulis buku mengenai Keningau. Sayangnya, saya tidak mengambil gambar buku itu. Rasa segan membantut keinginan. Harapnya penulis dan bukunya datang lagi besok. 

Bicara buku bersama beliau hari ini dalam masa yang agak singkat bagi saya, berjaya membuat kami menelusuri Keningau semasa era penjajahan British, kedatangan jepun dan pasca penjajahan. Kamu mahu tahukah? (Ini ayat beliau(dalam loghat Sabah), sebagai mengajuk cara orang-orang tua dahulu ketika bercerita kepada beliau perihal Keningau). Banyak dokumentasi mengenai Keningau malah artifak juga; ada tersimpan di Australia. Malah, ada satu bangunan khas untuk menyimpan dokumen mengenai Keningau di sana(saya lupa banngunan apa). Kata penulis, sekarang dokumen2 itu sudah banyak yang didigitalisasikan, namun masih ada dokumen yang masih tersimpan di dalam galeri dan hanya boleh diakses dengan membuka sendiri dokumen tersebut dan membacanya(membuat salinan misalnya). 

Melihat keningau semasa zaman penjajahan melalui rakaman berwarna tanpa suara(penulis ambil daripada arkib di Australia); dengan kesucian hutan, balak sebesar 5 pemeluk lelaki dewasa(anggaran saya), dengan usaha askar Australianya, warga yang sedikit naif, saya kira ia menerbit makna dalam hati. Terbau ironi dengan kemajuan yang boleh dibanggakan sekarang. Ledakan ironi menjemput bau itu menekan hati saya, mengingat apa yang  Keningau pernah ada satu masa dulu. Yang kalau dikekalkan, mungkin membawa makna lebih besar(kalaupun tidak semua mahu menghargainya). Generasi kami tidak lagi dapat membaunya, sisa pun sudah mampus dibunuh kapitalis). 

Sempat kami memberi tepukan, apabila penulis anak jati Keningau ini, bila dia berjanji akan menterjemah naskhah hebat beliau(4 tahun kajian) ke dalam bahasa melayu. Agar lebih ramai yang dapat menikmatinya. Saya tahu, ramai pencinta buku orang Keningau yang sanggup membelinya biar semahal apapun harganya. Saya sendiri misalnya. 

Ah! Tiba-tiba sahaja, saya mahu ke Australia. Menjejak bangunan itu(saya lupa penulis menyebutnya sebagai apa tadi) yang di dalamnya tersimpan sejarah daerah kelahiran saya. Banyak sejarah Keningau yang tidak ada di arkib Sabah tapi ada di Australia(di bangunan yang saya lupa namanya). Selalu saya bilang pada kawan-kawan, saya tidak boleh hidup selain di keningau dengan tenang. Ah...Naif!

Bulan Buku: Oktober 2017

Dapatan hari kedua, Karnival Buku Keningau. Esok tidak mahu beli buku lagi. Cukuplah buku untuk bulan Oktober. Stok duit makin terhad. Sardin King Cup pun sudah mahal sekarang. Apa kes?
Tujuan utama hari ini mahu ke bicara buku Pak Latif. Tapi saya tersalah tarikh. Slot bual bicara bersama Pak Latif akan diadakan esok petang. Nampaknya, saya bakalan tertinggal bual bicara slot Tuan Nazry Salam dan Tuan Ahmad Syahmi. Esok, mahu dapatkan tandatangan Pak Latif untuk buku Merentas Ranjau. Sebuah buku lama beliau, terbitan DBP tahun 1993. Insya-Allah. 
Ya! Dalam begitu banyak buku sejarah tulisan beliau, saya pilih buku lama yang sudah kekuningan dan saya beli dengan harga RM3.00 sebab saya rasa ia sudah jadi buku langka. Mahu lihat juga reaksi Pak Latif, bila nanti saya berpeluang meminta tandatangannya. Jadi, kenapa tidak?


Tadi, saya dapatkan tandatangan pekomik femes, Nazry Salam dan Ahmad Syahmi.  
Cekau 3 komik. Misi Tahfiz, Lawak Gadis Komik dan Dunia Kartun. Pilihan ketiga-tiga komik ini bersebab. Pertama, Misi Tahfiz: kerana pelukis dan penulisnya ada di sana. Boleh saya minta tandatangan mereka. Lawak Gadis Komik: kerana watak gadis dalam cover mencuit hati saya. Macam jajal. Dunia kartun: ia mengingatkan saya pada majalah UJANG. Saya senyum lihat cover komik ini. Jadi kenapa tidak?
BRADER, KITA MESTI TERUD HIDUP! Saya sudah lama usha buku ini. Cuma hajat itu, saya simpankan dulu dan apabila kembali ke karnival ini, saya terus beli. Mahu tahu apa shit yang pernah terpalit(dia palit) zaman Tok Mat jadi menteri penerangan. Masa isu rambut panjang para rockers, saya ingat lagi live dalam tv, Tok Mat gunting rambut Awie dan Amy. Memori itu terakam dalam otak, jadi; saya mahu tahu betul cerita sensasi itu dari tulisan Nasir Jani. Dia  terlibat dalam pembikinan filem Tombiruokan. Jadi kenapa tidak?
Buku Gantung, Nadia Khan saya beli kerana review sedap. Kenal buku ini dari buku Asrama: Muhammad Fatrim. 
Untuk hari kedua ini, apa yang saya kecewa, (1) penjaga reruai tidak tahu menerangkan perihal buku. Malah, dia tidak tahu kalau buku Asrama itu ada sambungannya. Penjaga reruai juga tidak membuat promosi untuk menarik perhatian pengunjung. Ya! Saya tahu, pengunjung boleh dibilang dengan jari. Tapi, kan lebih meriah dan; paling penting, dari duduk tengok picit hp laungan memanggil mungkin saja boleh menarik pembeli kan? Atau bila pengunjung datang, bagilah cadangan buku apa yang bagus dan berbaloi untuk beli. (2) jumlah pengunjung. Masih boleh dibilang dengan jari. Ya, ini hari bekerja. No doubt! Saya harap, warga keningau turunlah. Sokong program ini. 



Sunday, October 22, 2017

Bulan Buku: Oktober 2017

Dapatan dari Karnival Buku Keningau. Hari pertama.
Ke reruai buku-buku lama DBP, jumpa buku Senjakala. Sudah lama berhajat mahu beli akhirnya jumpa di sini. Pertama kali baca masa tingkatan empat. Pinjam buku senior. Memang rezeki betul. Terima kasih Allah, memakbulkan hajat lama. 
Masa PBAKL 2016, mahu beli tapi disimpan dulu dengan niat akan beli secara online saja tapi asyik tertangguh. Jadi, hari ini, nampak saja terus beli. Mahu lunaskan hajat. Lagipun, review sedap. Antara buku laku keras Dubook Press PBAKL 2016. Kenapa tidak? 
Buku Tuan Bahruddin Bekri. Buku pertama yang aku beli di karnival comel ini. Sebagai peminat karya beliau, saya beli. Buku merah jambu, tajuk sendu, sekali lagi, kenapa tidak. Ironi betul dengan status saya. Ceh!
Buku ini saya beli kerana kontroversi yang pernah tercetus. Buku yang membuatkan prahara di Pesta Buku Indonesia. Sekali lagi kenapa tidak? Untuk cerita lengkap, google sendiri. Lihat pada tajuk saja sudah boleh menimbulkan spekulasi. Kah!kah!kah! Kenapa gelak? Saya juga bingung.
Kalau ada yang bertanya pada saya tentang buku mana yang bagus, bagi saya(baca:jawapan),; semua buku punya magis yang tersendiri.

Hujan Di Bulan November

Ada kata yang tergulung menyempit dada hingga ngilunya membuat mata terasa panas tapi hati terasa dingin seperti bayu dari Kinabalu Aku hany...